mutakhir

Tangisan pilu si suami

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila seorang suami hanya mampu menangis sejurus melihat mayat isterinya maut dalam kemalangan di Kilometer 4.1, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Barat (SPRINT) berhampiran Terowong Penchala di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, mangsa, T Sarasvathy, 38 tahun, dikatakan terbabas dan merempuh hentian rehat motosikal ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Avanza.

Mangsa yang bekerja sebagai pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Keluarga mangsa yang mendapat maklumat berhubung kemalangan itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa sudah tidak lagi bernyawa.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S. Markandan berkata, siasatan awal mendapati mangsa gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar tembok batu di kiri jalan.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 1, 2015 @ 5:15am
d