mutakhir

Solat guna mata

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas : “Walaupun lumpuh seluruh badan, setiap kali waktu solat, dia akan terjaga dan minta saya bersihkannya untuk solat,” kata Jamilah Husin, 55, anak Fatimah Puteh, 83, yang diserang angin ahmar sejak September tahun lalu.

Jamilah yang berasal dari Kampung Apa-Apa di sini berkata, ibunya masih mampu menjaga solatnya setiap kali tiba waktu walaupun dalam keadaan terbaring dan menggunakan mata.

Anak ketiga daripada lima beradik berkata, setiap kali waktu solat, dia akan membantu membersihkan ibunya sebelum mempersiapkannya untuk solat.

“Jika saya terlewat bersihkan emak, dia akan memarahi saya kerana dia akan terlewat untuk solat.

“Pada waktu Subuh, seawal jam 5 pagi emak sudah terjaga dan akan memanggil saya untuk mandikannya. Sementara menunggu waktu solat, dia akan mengaji al-Quran,” katanya.

Jamilah berkata, ibunya tidak akan dapat tidur lena sekiranya masih belum menunaikan solat.

“Ketika emak masih sihat, dia seringkali bangun untuk menunaikan solat sunat Tahajud serta sunat taubat dan ketika dia lumpuh juga dia masih meneruskan amalan itu,” katanya.

Jamilah berkata, ibunya adalah guru al-Quran di kampung itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 2, 2015 @ 6:19am
d