mutakhir

16 bayi abadi 1 Februari

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: “Walaupun berasal dari Sabah, tetapi saya bangga anak ketiga ini dilahirkan pada Hari Wilayah. Malah keluarga di sana dan Brunei mengadakan kenduri doa selamat sempena kelahiran anak perempuan ini,” kata Nurajija Biloka, 35, selepas melahirkan anak perempuan pada Hari Wilayah di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi semalam.

Nurajija antara 16 ibu yang melahirkan bayi di HKL pada Hari Wilayah dengan bayi perempuan seberat 3.1 kilogram (kg) yang dilahirkan jam 7.39 pagi.

Katanya, dia pada awalnya dijadualkan melahirkan anak pada 23 Februari ini namun tetap bersyukur anaknya berada dalam keadaan sihat biarpun dilahirkan lebih awal dua minggu.

“Memang saya tidak sangka anak dilahirkan pada Hari Wilayah. Ini amat bermakna sekali malah kelahiran bayi perempuan juga tidak dijangka kerana ketika kandungan diimbas sebelum ini, saya dan suami tidak dapat melihat jantinanya.

“Kebetulan tarikh lahirnya sama dengan ibu mentua, disebabkan itu ibu mentua memilih nama anak kami iaitu Nur Damia Batrisia. Ini anak perempuan kedua saya dan suami,” katanya yang mempunyai dua anak iaitu lelaki berusia tujuh tahun dan perempuan berusia empat tahun.

Sehingga jam 3 petang semalam, 16 bayi dilahirkan di HKL bermula bayi pertama yang dilahirkan jam 1.25 pagi dan daripada jumlah itu, 11 bayi perempuan manakala selebihnya bayi lelaki.

Manakala Siti Norhariani Kamal, 28, berkata, dia bersalin secara normal dengan melahirkan bayi perempuan seberat 3.3 kg jam 1.25 pagi.

Katanya, dia teruja menyambut kelahiran bayi perempuan sulungnya itu selepas mempunyai tiga anak lelaki berusia empat tahun, tiga tahun dan dua tahun.

“Saya dan suami sengaja tidak mahu imbas jantina bayi sebelum ini dan gembira menerima bayi perempuan sulung. Pada mulanya saya dijadualkan bersalin pada 25 Februari nanti.

“Kelahirannya amat bermakna dan istimewa kerana dilahirkan pada Hari Wilayah. Buat masa ini, saya dan suami masih belum tentukan nama anak,”katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2015 @ 6:39am
d