mutakhir

Destinasi pertama

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia, Khamis ini, bakal mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua negara, selain menjadi medan menyelesaikan beberapa isu yang tertangguh sejak sekian lama, kata Duta Besar Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno.

Beliau berkata, Malaysia sebagai destinasi pertama lawatan negara Presiden Indonesia yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan juga mencerminkan pengekalan tradisi yang diamalkan sejak sekian lain.

Malaysia destinasi pertama bagi lawatan negara Presiden Indonesia yang mesra disapa ‘Jokowi’ selepas mengambil alih tampuk pimpinan republik itu Oktober lalu.

“Pemerintahan Jokowi melanjutkan pemerintahan terdahulu yang dipimpin Susilo Bambang Yudhoyono di mana persahabatan dan perhubungan dengan Malaysia yang serumpun ini tetap (dikekalkan).

“Kunjungan bilateral pertama (ke Malaysia) ini juga menunjukkan hubungan kedua-dua negara secara politik, ekonomi, kebudayaan dan emosionalnya sangat dekat.

“Ini tradisi...kunjungan hormat. Presiden baru akan perkenalkan diri, ceritakan apa-apa yang akan dikerjakan lima tahun ke depan. Polisi dalam politik, ekonomi dan budaya...apa yang bisa disesuaikan dengan Malaysia,” katanya.

Pada kunjungan itu, Jokowi bakal disertai Ibu negara Iriana serta Menteri Luar Retno Marsudi dan delegasi lain.

Isu sempadan Malaysia-Indonesia dan pekerja dijangka menjadi antara topik utama yang akan dibincangkan Jokowi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan tiga hari itu.

Herman berkata, dalam isu pembatasan maritim, Indonesia bukan berhasrat mahu memperluaskan sempadan lautannya seperti yang dicurigai banyak negara.

“Kami ( Indonesia ) hanya ingin memaklumkan kita negara maritim tapi tak bermaksud inginkan pencerobohan atau rebut wilayah orang lain. Kami hanya mahu rakyat Indonesia tahu sumber terbesar kami di laut

“Jadi, kami hanya ingin menegakkan kedaulatan laut supaya kami boleh mengolah sumber yang banyak untuk memakmurkan Indonesia,” katanya yang berharap isu persempadanan laut dan darat dengan Malaysia dapat diselesaikan menjelang hujung tahun 2015.

Rundingan pembatasan maritim antara Malaysia dan Indonesia turut membabitkan Selat Melaka, Laut Sulawesi dana Laut China Selatan.

Menyentuh isu pekerja, khususnya dalam isu pembantu rumah yang sehingga kini belum menemui penyelesaian, Herman berkata, perbincangan kedua-dua pemimpin dijangka berkisar tentang usaha memudahkan urusan penghantaran tenaga kerja ke Malaysia.

Katanya, Indonesia tidak keberatan untuk terus membekalkan tenaga kerja, namun harus disertakan dengan jaminan perlindungan yang bagus dalam memastikan kebajikan rakyatnya terpelihara.

Untuk tujuan itu katanya, menteri berkaitan akan berbincang dari segi aspek teknikal bagi mengelakkan berlaku lagi masalah di kemudian hari.

“Dalam jangka panjang, kami hanya mahu menghantar tenaga profesional seperti sektor perkilangan dan perladangan. Untuk pembantu rumah tangga mungkin sedikit demi sedikit akan dikurangkan kerana sukar untuk diawasi,” kata Herman.

Dalam pada itu, ditanya sama ada berlaku sebarang perubahan dasar dengan peralihan kepemimpinan di republik itu, Herman berkata: “Tidak, kerana semua presiden mengikuti undang-undang dasar di Indonesia.”

Menyentuh soal pembangunan kereta Asean yang pernah disuarakan Najib, duta itu berkata, Indonesia berpandangan positif dan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam bidang itu.

Herman yang menjadi Duta Besar Indonesia di negara ini sejak 2012 mengharapkan kunjungan Jokowi membawa hubungan kedua-dua negara ke tahap yang lebih baik.

“Saya betul-betul mengharapkan kunjungan ini berjalan lancar, aman dan membawa kenangan indah bagi kedua-dua rakyat Indonesia dan Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Disiarkan pada: February 2, 2015 @ 7:00am
d