mutakhir

Kirim virus tuntut wang

Kuala Lumpur: CyberSecurity Malaysia, pusat kepakaran dan keselamatan teknikal siber di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semalam mengeluarkan makluman berbentuk nasihat mengenai ‘Ransomware.’

Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, Ransomware adalah sejenis perisian Internet (malware/virus) yang menjangkiti komputer dan menyekat akses ke dalam sistem sehingga sejumlah wang tebusan dibayar kepada penciptanya, bagi tujuan membukanya semula.

Beliau berkata, malware/virus itu akan cuba memeras ugut wang daripada mangsa melalui satu menu pop timbul pada skrin komputer serta menyatakan bahawa komputer mereka telah dikunci atau semua fail dalam komputer itu ditutup dengan kod tertentu dan kemudian meminta pembayaran tebusan bagi memulihkan akses komputer.

“Pencipta Ransomware ini meletakkan ketakutan dan panik ke atas mangsa, menyebabkan mereka memetik pautan ini,” katanya, semalam.

Ransomware yang menyasarkan pengguna kediaman dan perniagaan boleh menyebabkan kehilangan sementara atau kekal, maklumat sensitif atau dokumen pemilikan, gangguan ke atas operasi perniagaan, kerugian kewangan yang ditanggung akibat pemulihan sistem dan fail serta kemudaratan kepada reputasi sesebuah organisasi.

Jika komputer seseorang pengguna telah dijangkiti dan menerima mesej Ransomware, mereka dinasihatkan supaya tidak mengikuti arahan bayaran, sebaliknya, terus membuat laporan kepada pusat bantuan Cyber999.

Disiarkan pada: February 2, 2015 @ 7:06am
d