mutakhir

'Saya ingat berlakon drama'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Icka S Hassan

Banting: “Saya sangka empat lelaki bertopeng itu sedang berlakon drama di depan kedai emas. Namun saya tergamam apabila mereka (perompak) menjerit sebelum melepaskan tembakan,” kata seorang saksi yang enggan namanya didedahkan.

Dalam kejadian jam 11.47 pagi semalam itu, sekumpulan penjenayah merompak kedai emas di sebuah pasar raya di sini, sebelum melarikan barang kemas bernilai antara RM300,000 hingga RM400,000.

Menurutnya, penjenayah melepaskan dua das tembakan ke udara dan satu lagi ke lantai premis.

“Pada masa sama, suspek lain sibuk memecahkan cermin ruang pameran barang kemas menggunakan tukul besi,” katanya.

Dia berkata, kumpulan penjenayah itu turut dilihat memakai jaket serta sarung tangan selain membawa pistol separa automatik.

Sementara itu, sumber polis berkata, suspek mengambil masa kurang tiga minit untuk merompak kedai emas berkenaan sebelum melarikan diri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 2, 2015 @ 7:12am
d