mutakhir

Restoran berdalih tak letak tanda harga

Subang Jaya: Beberapa pengusaha kedai mamak di sekitar Subang UEP di sini, gelabah sejurus diambil tindakan berikutan tidak meletakkan tanda harga pada minuman tin dan kotak dijual.

Rata-rata mereka memberi alasan kononnya tidak menyedari ia satu kesalahan ketika premis diperiksa pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) Selangor pagi semalam.

Jurucakap KPDNKK Selangor berkata, siasatan mendapati pemilik kedai sengaja tidak meletakkan tanda harga pada tin dan kotak minuman yang dijual di dalam peti sejuk.

“Apabila disoal siasat, mereka memberi pelbagai alasan antaranya tidak tahu ia satu kesalahan serius dan boleh mengelirukan pengguna.

“Susulan itu pegawai KPDNKK mengambil tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Menurutnya, peniaga terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Operasi Ops Catut itu turut dilakukan di Pasar Borong Selangor dan sekitar Bandar Saujana Putra berdasarkan aduan harga dan timbang disalurkan orang ramai.

“Hasilnya empat peniaga diambil tindakan mengikut AKHAP manakala dua kes dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Malah pihak KPDNKK turut melakukan pemeriksaan susulan aduan harga mahal dijual peniaga di sekitar Sungai Buloh.

“Pihak KPDNKK tidak ‘beri muka’ berikutan kebanyakan peniaga menyedari kesan daripada kesalahan dilakukan seperti menaikkan harga, menggunakan alat timbang tanpa kelulusan serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan dijual.

“Pemeriksaan seumpama itu akan dijalankan secara berterusan di semua peringkat perniagaan, bandar dan luar bandar termasuk terhadap pengilang atau pengeluar, pembekal, pengedar, pengimport, pasar raya, kedai runcit, pasar tani, pasar malam, pasar basah, restoran dan sektor perkhidmatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2015 @ 7:22am
d