mutakhir

Lepas geram

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Berang kerana gagal memasuki kediaman pekerja dipercayai menjadi punca sebuah rumah dibakar dalam kejadian di ladang getah di Tenang, di sini, kelmarin.

Pemilik kediaman berkenaan dan juga majikan kepada penoreh getah yang menginap di kediaman terbabit dikenali sebagai Wong, 75, berkata, dia terima panggilan daripada pekerjanya dikenali sebagai Ahmat, memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 10 pagi ketika berada di bandar Segamat .

Menurutnya, pekerjanya itu menyedari kejadian berkenaan selepas pulang ke rumah terbabit untuk bersarapan.

“Kami temui kesan bingkai besi keselamatan yang dipasang di tingkap kediaman itu dibengkokkan dan dipercayai kerana gagal masuk menyebabkan individu yang cuba menceroboh itu membakarnya.

“Pekerja saya tinggal berseorangan di rumah terbabit dan dia baru dua minggu ditempatkan di kebun getah seluas kira-kira tiga hektar itu dan mempunyai permit serta dokumen lengkap untuk bekerja di sini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian pekerjanya memaklumkan kepadanya dia didatangi lelaki berpakaian seragam hijau celoreng tanpa sebarang logo dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota sukarelawan.

Katanya, lelaki itu mendakwa pekerjanya melakukan kesalahan kerana tinggal bujang di rumah di kebun getah dan perlu kelulusan pihak tertentu.

“Lelaki berpakaian celoreng itu mendakwa perkara itu boleh diaturkan sekiranya dia membayar sejumlah wang kepadanya.

“Bagaimanapun, pekerja saya itu tidak bayar wang seperti yang diminta lelaki itu dengan alasan tiada wang sebelum dia berlalu pergi apabila diminta serahkan kad kuasanya,” katanya.

Menurut Wong, dia membuat laporan polis mengenai kejadian kebakaran terbabit kerana mengesyaki ia perbuatan khianat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi M Anuar Ismail berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Menurutnya, pihaknya ingin memberi amaran keras terhadap sesiapa yang menyamar sebagai penjawat awam, selain memakai pakaian seragam menjadi satu kesalahan berat.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau Balai Polis Tenang 07-9279222 bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: February 2, 2015 @ 7:33am
d