mutakhir

101 pegawai psikologi beri bantuan

Kuala Terengganu: Seramai 14,995 kanak-kanak dan 289 dewasa daripada lebih 500,000 penduduk yang terjejas banjir di seluruh negara menerima rawatan serta perkhidmatan kaunseling dan psikologi akibat trauma.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, seramai 101 pegawai psikologi terbabit dalam pengendalian intervensi krisis dan sokongan psikologi kepada mangsa banjir di seluruh negara.

“Selain menitikberatkan hal berkaitan bantuan makanan dan pusat pemindahan untuk mangsa banjir, keperluan sokongan moral serta pemulihan psikologi juga menjadi keutamaan kami.

“Bantuan psikologi kepada yang terjejas banjir sangat diperlukan bagi menceriakan hati mereka daripada terus bersedih dengan kejadian yang menimpa serta kerosakan harta benda,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Jabatan dan Agensi Yang Terbabit Sebagai Mangsa Banjir di sini, semalam.

Pada majlis itu sebanyak RM25,000 diserahkan kepada warga kakitangan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di negeri ini.

Rohani berkata, setiap pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir diceriakan dengan pelbagai aktiviti termasuk aktiviti rekreasi, keagamaan, pertandingan mewarna dan kelas tuisyen untuk murid dan pelajar.

“Perkhidmatan kaunseling dan psikologi akan menjadi sesi terpenting untuk mangsa banjir di pusat pemindahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2015 @ 6:58am
d