mutakhir

'Jangan cuba cari pasal!'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: “Tunggulah tindakan daripada kita,” tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung perbuatan pihak yang sengaja mencari ‘pasal’ menghasut rakyat supaya menyokong cubaan mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Beliau memberi amaran bahawa polis mengambil tindakan tegas serta tidak akan sesekali bertolak ansur dengan pihak yang melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya memberi ingatan kepada mereka mengenai isu ini... mereka yang menghasut rakyat supaya menyokong mahu mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

“Sebarang percubaan mengeluarkan Sabah dan Sarawak adalah perbuatan melanggar peruntukan dalam Perlembagaan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pasukan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kelmarin, beberapa individu yang mendakwa sebagai sukarelawan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) ditahan selepas didakwa cuba mengedarkan petisyen berbaur hasutan kepada orang ramai di sekitar Tuaran, Sabah.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kumpulan terbabit didakwa berbuat demikian untuk mendapatkan tanda tangan dan sokongan orang ramai bagi kempen mengeluarkan negeri berkenaan dari Malaysia.

Dalam pada itu, Khalid berkata, perbuatan pihak yang mahu mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia juga boleh dianggap sebagai penderhakaan.

“PDRM tidak akan membiarkan perkara ini dan saya sudah mengeluarkan arahan tegas kepada pegawai polis di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga tidak akan bertolak ansur apa jua perbuatan yang cuba melanggar peruntukan dalam perlembagaan dan tindakan tegas akan kita ambil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada kerajaan Filipina berhubung dakwaan seorang rakyat negara ini terbunuh sewaktu pertempuran membabitkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan komando polis Filipina.

“Kita belum dapat apa jua laporan rasmi daripada Filipina dan kita masih menunggu. Sehingga kini, kita tidak boleh sahkan individu itu Marwan yang terbunuh ketika pertempuran berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, laporan media Filipina mengatakan seorang lelaki Malaysia berstatus pengganas dan pakar pembuat bom, Zulkifli Hir atau Marwan terbunuh dalam pertempuran yang turut mengorbankan kira-kira 50 komando polis Filipina serta mencederakan 12 anggota lain.

Sementara itu, Khalid berkata, beliau ingin memanggil ketua pengarang sebuah portal berita berhubung laporan yang cuba melaga-lagakan PDRM dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ini tidak boleh dibiarkan dan saya berpendapat perbuatan itu (melaga-lagakan dua pihak) sengaja mengundang masalah. Jangan nak melagakan PDRM dengan menteri atau sesiapa saja.

“Jika mahu melaporkan mengenai fakta, laporlah dan jika ada sesiapa pegawai polis yang memberitahu...siapa dia (pegawai) yang bagi tahu perkara itu.

“Saya minta berhati-hati membuat laporan begini dan jangan cuba melagakan PDRM dengan kementerian kerana saya tidak akan benarkan,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2015 @ 7:06am
d