mutakhir

UM mahu lahir pemenang Hadiah Nobel

Kuala Lumpur: Universiti Malaya, universiti tertua di negara ini mahu melahirkan pemenang Hadiah Nobel pertama Malaysia dan Naib Canselornya Prof Dr Mohd Amin Jalaludin yakin hasrat itu ‘amat boleh dicapai.’

“Tetapi kita mesti mempunyai impian bahawa suatu hari, UM akan melahirkan pemenang Hadiah Nobel pertama untuk negara memandangkan jumlah penemuan penyelidikan dari universiti ini yang disiarkan dalam jurnal penyelidikan terkemuka dunia semakin meningkat,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, kejayaan ahli penyelidik UM adalah hasil geran Penyelidikan Berimpak Tinggi (HIR) RM590 juta oleh kerajaan pada 2011 yang membolehkan UM menubuhkan kemudahan makmal penyelidikan pusat dilengkapi teknologi tercanggih.

Ini membawa kepada peningkatan kerjasama dengan universiti di dunia selain tiga pemenang Hadiah Nobel ditugaskan di UM untuk memberi nasihat dan bekerjasama dengan penyelidik universiti itu untuk meningkatkan kualiti dan penyelidikan yang relevan kepada masyarakat.

Prof Dr Mohd Amin, bekas Dekan Fakulti Perubatan UM dan bekas Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menyokong perubatan peralihan - mencari aplikasi baharu untuk penyelidikan bagi memperbaiki kehidupan dan penemuan daripada sains asasi diterjemahkan kepada penyelesaian, prosedur dan dasar yang praktikal.

“Apa saja penyelidikan yang kami lakukan ia mesti diguna pakai untuk manfaat masyarakat. Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan geran HIR dan ia memberi impak kepada masyarakat terutama dalam bidang perubatan,” katanya. - BERNAMA

Disiarkan pada: February 3, 2015 @ 7:36am
d