mutakhir

Pemandu van parah ditetak 4 lelaki berparang

Kuala Lumpur: Seorang pemandu van parah di lengan kanan selepas ditetak sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang ketika berhenti di lampu isyarat.

Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin, mangsa berusia 27 tahun cuba dirompak kumpulan suspek bermotosikal di Jalan Subang Perdana, Subang Jaya di sini.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu van dari rumahnya di Kampung Melayu Subang menuju ke Petaling Jaya untuk menghantar barang.

Katanya, empat lelaki menaiki tiga motosikal berasingan tiba-tiba menghimpit kenderaan mangsa sebelum membuka pintu van di sebelah pemandu dan penumpang serentak.

“Empat suspek terbabit mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga dimiliki, namun mangsa enggan menurut arahan itu sebaliknya cuba melawan.

“Mangsa menarik semula pintu van di sebelah pemandu serta cuba menolak suspek yang berdiri di situ. Malangnya suspek naik berang dan menetak lengan mangsa,” katanya.

Susulan itu mangsa parah di lengan kanan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh di sini.

“Suspek merampas beg sandang milik mangsa mengandungi telefon bimbit, pengecas bateri, dokumen pengenalan diri dan wang tunai,” katanya.

Katanya, keempat-empat suspek melarikan diri menaiki motosikal Honda EX5 dan Scrambler.

“Mangsa gagal mengecam nombor pendaftaran kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu jurucakap polis Petaling Jaya mengesahkan kejadian itu dan mengesan suspek disyaki kumpulan samun lampu isyarat yang aktif menyamun di lokasi berkenaan.

Disiarkan pada: February 3, 2015 @ 7:42am
d