mutakhir

Ajal kempunan nasi

Tanah Merah: Hasrat seorang remaja membeli nasi bagi mengalas perut terbantut apabila dia maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan kereta di Kampung Chedok, Bukit Bunga, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Mohd Zawawi Mohd Fauzi, 20, yang menetap di Kampung Jakar, Bukit Bunga, di sini, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jakar di sini.

Pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil cedera di kepala dan menerima rawatan di Hospital Jeli.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC sendirian dalam perjalanan dari arah Jeli ke Tanah Merah.

Katanya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa bertembung kereta itu dari arah bertentangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Azizah Mohd, 45, berkata, sebelum kejadian arwah berkelakuan biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Menurut rakannya, arwah keluar rumah jam 7 malam untuk membaiki motosikal abang iparnya di rumah seorang lagi rakannya di kampung berdekatan.

“Kejadian berlaku ketika mangsa keluar membeli nasi bagi mengalas perut sebelum menyambung semula kerja membaiki motosikal terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Disiarkan pada: February 3, 2015 @ 7:43am
d