mutakhir

Tauke 'nganga'

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Seramai empat peniaga telefon bimbit hanya tercengang sejurus dikenakan kompaun kerana gagal meletakkan tanda harga terhadap telefon bimbit dijual.

Kebanyakan peniaga terbabit tidak menyangka diambil tindakan oleh pegawai bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor yang melakukan operasi pada cuti umum perayaan Thaipusam semalam.

Semua peniaga yang menjalankan kegiatan di Petaling Jaya, Alam Mega dan Klang itu dikesan tidak meletakkan tanda harga pada deretan telefon bimbit dipamerkan kepada pelanggan.

Jurucakap KPDNKK Selangor berkata, empat peniaga dikenakan tindakan kompaun selepas gagal memberi alasan munasabah.

Menurutnya, semua telefon bimbit dijual turut dirampas dengan anggaran nilai RM6,372 berdasarkan harga pasaran.

“Pemantauan itu dilakukan KPDNKK untuk memastikan tiada kenaikan harga barangan dilakukan peniaga termasuk barangan keperluan pengguna.

“Mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, peniaga individu yang gagal meletakkan tanda harga boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, peniaga menjual barangan melebihi harga kawalan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau dikompaun sehingga RM50,000.

Disiarkan pada: February 4, 2015 @ 6:47am
d