mutakhir

Tak hirau hon berkali-kali

Alor Gajah: Seorang pemandu treler muatan relung kabel nyaris maut apabila kenderaan itu terbabas dan terbalik di Jalan Gangsa-Durian Tunggal di Kampung Bukit Balai, di sini, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, treler dipandu seorang lelaki di kenali sebagai Hamidon, 40-an, hilang kawalan selepas tayar depan sebelah kiri dipercayai pancit.

Difahamkan, hampir semua 30 relung kabel yang dibawa bertaburan di tebing jalan manakala pemandunya terperangkap dalam kepala lori, tetapi hanya cedera ringan.

Sumber berkata, kejadian disedari seorang pengguna jalan raya yang terdengar bunyi letupan sebelum melihat kenderaan berat di hadapan hilang kawalan.

“Pengguna itu membunyikan hon berkali-kali sambil memberi isyarat lampu tinggi untuk meminta pemandu treler memperlahankan kenderaan.

“Bagaimanapun, treler terbabit terus meluncur laju menuruni bukit yang berselekoh sebelum terbabas dan terbalik,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemandu itu mengalami kecederaan di kepala dan badan diselamatkan orang ramai.

“Pemandu treler terbabit diberikan rawatan kecemasan di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, pemandu itu dilaporkan stabil.

Disiarkan pada: February 4, 2015 @ 7:09am
d