mutakhir

Penjara nanti penghina Tunku Azizah

Kuantan: Penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali bakal menanti individu yang bertindak di luar batasan dengan menggunakan kata-kata kesat dan lucah terhadap Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan segera termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta individu terbabit tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat sengaja mengaibkan bagi memecahbelahkan keamanan.

“Kita terima dua laporan polis berhubung kata lucah berkenaan dipercayai tidak berpuas hati terhadap kenyataan Tunku Azizah Aminah Maimunah serta kain rentang dengan imej individu berkepala anjing memakai kot mempunyai logo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lalu.

“Individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kata kesat dan lucah kepada Tengku Puan Pahang diminta tampil untuk siasatan lanjut manakala berhubung kain rentang itu, polis Pahang serahkan kepada polis Johor untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Disiarkan pada: February 4, 2015 @ 7:13am
d