mutakhir

Maju 120 hutan lipur

Bentong: Jabatan Perhutanan akan memajukan lebih 120 kawasan hutan lipur di negara ini yang mampu menjadi produk pelancongan di negeri terbabit.

Keindahan air terjun dan hutan semula jadi dengan pelbagai spesies pokok balak mampu menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk datang beriadah bersama keluarga selain mengadakan aktiviti sesuai.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan) Datuk Nor Akhirrudin Mahmud berkata, sudah tiba masanya jabatan memberikan perhatian terhadap usaha memajukan hutan lipur yang banyak di negara ini.

Katanya, kerjasama erat antara jabatan perhutanan negeri dengan agensi pelancongan negeri dan pihak swasta perlu diwujudkan bagi melancarkan lagi usaha meletakkan hutan lipur pada kedudukan lebih baik.

Katanya, selain hutan lipur turut diperkenalkan adalah taman negeri yang sebelum ini lebih dikenali dalam kalangan pelancong apabila terdapat kemudahan seperti chalet, pusat informasi, dewan dan tempat perkelahan.

“Beberapa hutan lipur di negara yang terletak hampir dengan bandar besar seperti Hutan Lipur Chamang dan Hutan Lipur Lentang, di sini, termasuk Hutan Lipur Ulu Bendul, Negeri Sembilan menerima kunjungan pelancong yang ramai setiap hujung minggu,” katanya.

Nor Akhirrudin yang turut melakukan lawatan ke Hutan Lipur Chamang berkata, hutan lipur dan taman negeri yang dimajukan mampu memberikan pendapatan tambahan kepada jabatan perhutanan negeri.

Katanya, selain sokongan kewangan daripada kerajaan negeri dan pusat, peruntukan tambahan turut akan diberikan kepada jabatan perhutanan negeri untuk mereka memajukan kawasan terbabit.

Disiarkan pada: February 4, 2015 @ 7:19am
d