mutakhir

Pasukan audit lambakan beras

Oleh Diyanah Anuar

Kangar: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan pasukan audit dan penyiasatan bagi mencari punca lambakan beras yang tersimpan hingga tiga tahun di kilang beras milik Dibuk Sdn Bhd (DIBUK) di sini,

Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Arif Ab Rahman berkata, pasukan itu akan menyelidik setiap aspek berkaitan dengan isu berkenaan supaya tidak berulang pada masa akan datang hingga merugikan banyak pihak dalam industri padi negara.

Menurutnya, pasukan itu akan menjemput Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memberi penjelasan bagaimana perkara ini boleh berlaku, malah kementerian akan meneliti laporan dibuat Seksyen Kawal Selia Padi Dan Beras sebelum ini.

“Kita ingin bagaimana stok beras boleh tersimpan di kilang ini hingga tiga tahun sedangkan selepas invois daripada BERNAS, beras sepatutnya keluar dari kilang dalam masa dua minggu.

“Semua sudut akan diteliti dan saya beri jaminan dan kita akan cari punca sebenar masalah ini dan semua perkara berkaitan isu ini akan dimasukkan dalam laporan yang akan diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di kilang berkenaan, semalam.

Selepas meninjau dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak seperti pengilang, wakil BERNAS serta agensi lain yang terbabit, Mohd Arif berkata, masalah lambakan beras di kilang berkenaan boleh dianggap selesai.

Pengarah Urusan DIBUK yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pengilang-Pengilang Beras Melayu Marzukhi Othman berkata, ketika ini pihaknya sedang mengeluarkan stok beras daripada musim padi tahun lalu yang dianggarkan 2,000 tan metrik.

Disiarkan pada: February 4, 2015 @ 7:19am
d