mutakhir

Bukti kasih sayang tulen

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: “Setiap kilometer yang dilalui oleh suami itu untuk menjaga isterinya adalah bukti kasih sayang yang sangat tulen dan anak mereka akan merasainya serta dapat membina semangat bayi terbabit,” kata pakar kaunseling kekeluargaan Dr Rozieta Shaary.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam mengenai seorang nelayan di Kampung Tengah, Merang, Setiu yang menunggang motosikal setiap hari berulang-alik sejauh 90 kilometer (km) ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menjaga isteri yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana koma akibat radang otak.

Ruslili Usof, 35, yang juga bapa kepada empat anak menjaga isterinya, Noor Laila Razak, 33, yang koma ketika lima bulan mengandung anak bongsu dan penyakit itu diketahui selepas doktor menjalankan rawatan dan pemantauan sejak Oktober tahun lalu.

Dr Rozieta berkata, pengorbanan dilakukan Ruslili itu demi isterinya tidak akan terlepas pandang daripada Allah dan ia juga adalah ‘saham’ yang dapat dituai di dunia lagi.

“Ini adalah satu bukti cinta dalam keadaan dunia penuh dengan pelbagai kejadian yang menunjukkan cinta itu sudah tiada dan ia juga memberi harapan kepada dunia.

“Malah, apa dilakukan oleh suami ini tidak akan terlepas daripada pandangan Maha Pencipta, semua ini adalah ‘saham’ yang dapat dituai di dunia lagi, apatah lagi dia berkorban mengembara sejauh itu untuk menemani isteri yang sedang sakit,” katanya.

Akhbar melaporkan kandungan Noor Laila selamat dilahirkan menerusi pembedahan pada 15 Januari lalu dan cukup sifat walaupun tidak cukup berat.

Bagaimanapun, Noor Laila masih belum sedar daripada koma sekali gus belum melihat bayi perempuan yang baru dilahirkan itu.

Dr Rozieta berkata, beliau yakin keluarga Noor Laila mempunyai semangat dan kekuatan jiwa yang kental untuk menerima keadaan itu.

“Mereka juga perlu memahami ini semua adalah perancangaan Allah dan sesuatu yang baik akan berlaku dari situ.

“Apa yang boleh dilakukan mereka sekeluarga ialah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah supaya diberikan kesabaran dan kekuatan iman seterusnya menyatukan keluarga dengan kasih sayang,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2015 @ 7:23am
d