mutakhir

Ajal memandu ketika mabuk

Shah Alam: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu bergesel dengan sebuah kenderaan lain sebelum melanggar pembahagi besi jalan di Kilometer 9.1, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Sumber polis berkata, mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mabuk berikutan kenderaannya itu dilihat dipandu laju dan terhuyung-hayang sebelum bergesel dan terbabas.

Katanya, mangsa tersepit di dalam kereta dan terpaksa dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, usaha mengenal pasti identiti dan menghubungi waris mangsa giat dijalankan berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama mangsa ketika kejadian.

Disiarkan pada: February 4, 2015 @ 7:31am
d