mutakhir

Diseret ketika buat pusingan U

Kota Bharu: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian dekat Kampung Kota berhampiran RTM Wakaf Che Yeh, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi menyebabkan mangsa, Syed Bukhari Syed Akhir, 42, berasal dari Tanah Merah maut di lokasi kejadian.

Menurut saksi, Ismarudy Ismail, 36, dia sempat melihat sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari arah RTM Wakaf Che Yeh merempuh motosikal mangsa yang membuat pusingan U ketika melalui kawasan berkenaan.

“Pemandu kereta itu tidak sempat mengelak dan mengheret motosikal mangsa sebelum dia terbabas di bahu jalan.

“Kereta itu juga merempuh gerai menjual makanan yang terletak di bahu jalan. Nasib baik pemilik gerai dan orang dalamnya sempat melarikan diri.

“Memang kejadian berlaku pantas dan saya lihat mangsa tercampak di atas jalan,” katanya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi trafik ibu pejabat polis daerah di 097741022.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 6:45am
d