mutakhir

'Kembar' kereta buat hal

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: “Bagaimana saya boleh ada saman kesalahan jalan raya di Kuala Lumpur dan Selangor sedangkan sejak membeli kereta tiga tahun lalu, saya tidak pernah memandunya ke sana,” kata Lim Teck Seong, 47, yang percaya kereta Honda City miliknya mempunyai kembar menggunakan nombor pendaftaran sama.

Menurut pekerja kedai peralatan aksesori kenderaan di Gemas Baru itu, dia menyedari perkara itu selepas menerima tiga saman dirakam melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor.

Kata Lim, dia terkejut apabila menerima surat saman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, kerana kesalahan memandu melebihi had laju di Kilometer 301.6 Lebuhraya Utara-Selatan pada jam 5.14 petang pada 14 Julai lalu.

“Dua lagi surat saman saya terima kerana kesalahan sama dilakukan pada 20 Julai lalu di Kilometer 375.9 menghala ke Kajang dan pada 20 Disember lalu di Kilometer 301.6 lebuh raya sama menghala Kajang.

“Peliknya, pada masa dan tarikh semua kesalahan itu dirakamkan, kereta saya di Segamat. Malah, selama tiga tahun menggunakannya, kereta itu tidak pernah dipandu ke sana sama ada oleh saya atau sesiapa,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Awam Gemas di sini, semalam.

Menurut Lim, dia membeli kereta Honda City putih berkenaan pada Jun 2012 lalu dan mendakwa tidak pernah dipandu orang lain termasuk isteri dan dua anaknya atau sesiapa sahaja ke Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Lim membuat laporan di Balai Polis Gemas Baru pada Disember lalu dan menemui pengendali AES di Kuala Lumpur bagi menyelesaikan perkara itu.

“Berdasarkan penelitian rakaman AES dan fizikal sebenar kereta saya, pihak terbabit menemui perbezaan, sekali gus membolehkan semua saman terdahulu dibatalkan.

“Mereka percaya kereta dirakam melakukan kesalahan itu menggunakan nombor pendaftaran sama dan secara kebetulan jenis kereta juga sama,” katanya.

Namun, ketika menyangka masalah itu selesai, Lim dikejutkan dengan perkara sama apabila semakan saman di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis di Daerah (IPD) Segamat kelmarin, mendapati keretanya mempunyai rekod kesalahan lalu lintas.

Katanya, berdasarkan rekod, kesalahan dilakukan pada 2 Januari 2015 yang dikeluarkan Cawangan Trafik Polis Kuala Lumpur, jam 9 pagi berhampiran sebuah pasar raya kerana menghalang lalu lintas.

“Perkara ini tidak akan selesai selagi pihak berkuasa berkaitan tidak membatalkan nombor pendaftaran ‘kembar’ kereta saya dan apa yang membimbangkan, saya mungkin berdepan masalah memperbaharui lesen memandu yang tamat tempoh Mac tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu Lim berharap pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat membantunya menyelesaikan masalah itu supaya namanya tidak disenarai hitam atau tersenarai sebagai pemandu memiliki waran tangkap.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 6:49am
d