mutakhir

Tragedi hantar ubat

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Lubok Antu: Perjalanan tiga sahabat menghantar bekalan ubat ke Sibu bertukar tragedi apabila mereka maut selepas lori dinaiki merempuh lori rosak yang berhenti di tepi jalan dalam kejadian di Kilometer 35, Jalan Sri Aman-Sarikei, Engkilili, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, pemandu lori Robin Ngering, 44, bersama dua kelindan Mathew Sinta, 29, dan Bong Soon Lee, 37, maut di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.

Pemandu lori yang rosak Edward Tinggom, 35, dan dua kelindannya Ramy Tinggom, 28 dan Kuet Banjor, 25 tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu Deputi Superintendan James Jonathan berkata, kedua-dua lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuching untuk menghantar bekalan ubat berkenaan ke Sibu.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang membawa barang keperluan runcit itu berhenti di tepi jalan kerana tayar pecah sebelum dirempuh lori dipandu mangsa.

“Kira-kira 10 minit kemudian sebuah lori dari arah sama dengan membawa muatan ubat terus melanggar belakang lori rosak itu.

“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu lori dan dua kelindan tersepit di tempat duduk dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya, di sini, semalam.

James berkata, siasatan awal mendapati, mangsa tidak sempat mengelak kerana tidak nampak lori yang berhenti di tepi jalan, tambahan pula ketika kejadian jalan berkenaan gelap kerana tiada lampu jalan.

Katanya, pemandu lori yang terselamat menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan selepas kejadian itu berlaku.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Betong dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan mayat tersepit.

“Mayat dihantar ke rumah mayat Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:05am
d