mutakhir

Takut Melayu bersatu

Shah Alam: Objektif utama pihak tertentu yang begitu lantang menghentam Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan isu boikot peniaga tamak sebenarnya lebih kepada bimbangkan perpaduan orang Melayu.

Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Muda Feruddin Emir Izat Emir berkata, beliau yakin perpaduan Melayu akan menyebabkan banyak cita-cita pihak tertentu untuk menguasai ekonomi serta politik negara terjejas.

“Kenapa begitu beria-ia menghentam Datuk Seri Ismail Sabri sedangkan jika difikirkan, penurunan harga barang memberi faedah kepada semua masyarakat dan bukannya Melayu saja.

“Apabila difikirkan dengan lebih mendalam, PERDASAMA Muda yakin ia semua berkaitan isu perpaduan Melayu. Itu yang paling dibimbangi pihak tertentu dan untuk mengalihkan perhatian, mereka menggambarkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai rasis,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, jika DAP serta MCA begitu lantang mengecam Ismail Sabri, mengapa kedua-dua parti terbabit tidak langsung membuka mulut untuk meminta peniaga menurunkan harga barang apabila harga minyak sudah dua kali turun.

“Sedarlah orang Melayu, apabila ia membabitkan kepentingan mereka, kita ditolak ke tepi umpama orang yang tiada harga diri, namun apabila kita bersuara, kita dikatanya sebagai rasis,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:19am
d