mutakhir

'Saya jaga hak pengguna'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Tiada istilah untuk saya memohon maaf atau menarik balik kenyataan kerana niat saya untuk menjaga kepentingan pengguna secara keseluruhannya,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail ditemui pada sidang akhbar khas dihadiri lebih 90 Ketua UMNO Bahagian di Kelab Tasik Putrajaya, di sini semalam.

Menurutnya, beliau difahamkan, sudah ada pihak yang bersetuju untuk menurunkan harga barang hasil desakan dibuatnya, malah faedah penurunan itu kelak bukan hanya dinikmati satu kaum sahaja, tapi seluruh rakyat Malaysia.

“Kita patut melihat dari sudut positif dan jika dilihat dari sudut negatif maka sampai bila pun tidak boleh selesai masalah,” katanya.

Ditanya berhubung pelbagai ugutan diterimanya menerusi laman sosial miliknya, Ismail berkata, perkara itu normal kerana tidak semua setuju dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Menurutnya, negara ini mempunyai undang-undang dan pihak polis sepatutnya akan mengambil tindakan terhadap perkara itu.

Mengenai sokongan diberikan lebih 90 Ketua UMNO Bahagian terhadapnya, Ismail berkata, tujuan mereka berkumpul adalah untuk menyatakan sokongan supaya beliau tidak bersendirian berdepan isu berkenaan.

“Seperti yang semua tahu, banyak laporan polis sudah dibuat mengenai saya. Jadi, mereka (Ketua UMNO Bahagian) hadir adalah untuk menyatakan solidariti kepada saya,” katanya.

Sementara itu, berhubung kenyataan dibuat Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkannya daripada barisan Kabinet, Ismail berkata, tiada siapa berhak memohon pemecatan itu kerana pelantikan menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri.

“Kita tidak boleh desak kuasa yang dimiliki sepenuhnya Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, beliau bersama lebih 90 Ketua UMNO Bahagian menyokong penuh kenyataan dikeluarkan Ismail sebelum ini.

Beliau yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu berkata, jika dilihat dari konteks kenyataan, kuasa beli majoriti mampu mengubah dan mempengaruhi peniaga untuk menurunkan harga.

“Bukan sahaja orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini sebaliknya kaum lain juga akan mendapat manfaat darinya,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:20am
d