mutakhir

JAKIM lantik TPM Biotech percepatkan proses pengesahan halal

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melantik syarikat TPM Biotech Sdn Bhd sebagai satu lagi Makmal Panel Halal JAKIM dalam usaha mempercepatkan proses pengesahan halal.

Pelantikan makmal berkenaan bertujuan melancarkan proses penganalisaan ke atas sampel yang memerlukan pengujian dalam proses permohonan sijil halal Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengiktirafan itu adalah selaras dengan kerancakan perkembangan industri halal di samping membantu syarikat yang mahu mendapatkan pensijilan halal dengan segera.

“Syarikat yang diiktiraf menjadi Makmal Panel Halal ini akan dapat membantu pihak JAKIM lebih-lebih lagi ada pihak dan syarikat yang mahu segera mendapatkan sijil halal.

“Tempoh penganalisaan ini menjadi lebih cepat iaitu kira-kira 15 hari berbanding 30 hari dilakukan Jabatan Kimia Malaysia. Bezanya, bayaran dikenakan mengikut ketetapan syarikat tidak seperti Jabatan Kimia Malaysia dibuat secara percuma,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelantikan TPM Biotech Sdn Bhd sebagai Makmal Panel Halal JAKIM di sini, semalam.

Pada majlis itu menandatangani MoU itu, JAKIM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha dan TPM Biotech Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Husni Johari.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, antara kriteria pelantikan makmal panel itu adalah perlu memperoleh akreditasi daripada Standrads Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan keperluan MS ISO/IEC 17025:2005.

“Syarikat itu juga perlu mempunyai Jawatankuasa Halal Dalamam serta memaplikasikan prosedur sertu. Tiga asas ini akan dipertimbangkan dahulu sebelum diberi pengiktirafan untuk pelantikan sebagai makmal panel,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:25am
d