mutakhir

Teguran untuk semua peniaga

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara ini tidak dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada semua pihak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan di media sosial yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu penurunan harga barang.

Menurutnya, kenyataan dibuat Ismail itu sebenarnya bertujuan menegur peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak petrol dan diesel sudah turun.

“Teguran dibuat beliau (Ismail) ditujukan kepada semua peniaga dan bukan kepada peniaga kaum tertentu sahaja. Malah, beliau juga mencadangkan agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga menurunkan harga barang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam.

Katanya, beliau juga ingin menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum di negara ini.

Najib berkata, beliau juga mahu peniaga supaya lebih bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam menentukan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan penurunan harga minyak bagi memastikan pengguna merasa kesan penurunan harga berkenaan.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:25am
d