mutakhir

Capai persetujuan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Pertemuan dan perbincangan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan kepemimpinan tertinggi MIC semalam mencapai persetujuan apabila satu pemilihan semula parti akan diadakan sebagai jalan penyelesaian kepada masalah dihadapi parti berkenaan.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, keputusan itu dicapai menerusi pertemuannya dengan Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan Timbalannya Datuk Seri S Subramaniam.

“Keputusan itu akan dimaklumkan oleh MIC kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar tindakan sewajarnya boleh diambil untuk melaksanakan pemilihan semula parti MIC.

“Butir-butir pemilihan semula parti akan diumumkan selepas surat daripada ROS diterima oleh parti MIC,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini semalam.

Turut hadir pada pertemuan itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Palanivel dikatakan mahu berbincang dengan Najib supaya pemilihan baru diadakan terhadap semua jawatan dalam parti berkenaan termasuk di peringkat cawangan, bahagian dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) termasuk Presiden dan Naib Presiden.

Kemelut dalaman MIC tercetus selepas ROS membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota CWC dalam surat bertarikh 5 Disember 2014.

Berikutan itu, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan berlaku salah laku dan perlanggaran perlembagaan parti serta Akta Pertubuhan, atau berdepan kemungkinan parti dibatalkan pendaftaran.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:26am
d