mutakhir

Lepas geram di kereta

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: “Saya terkejut apabila lelaki itu bertindak seperti samseng jalan raya dengan memukul kereta saya menggunakan sebatang kayu hingga rosak,” kata pemandu kereta yang hampir dibelasah orang awam ekoran tindakannya merempuh seorang wanita warga emas di Jalan Kepong, semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa tidak sengaja melanggar wanita itu selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang berhenti secara mendadak di hadapan keretanya.

“Motosikal ditunggang seorang lelaki tiba-tiba berhenti mengejut ketika menghampiri simpang jalan. Saya tidak sempat berhenti dan terpaksa melencongkan kereta ke sebelah kiri jalan.

“Tindakan itu menyebabkan kereta Perodua Kancil saya merempuh seorang wanita warga emas yang sedang melintas jalan menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala dan kaki,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian berhenti dan segera menghubungi ambulans selain membantu mengangkat wanita berusia 70-an itu ke tepi jalan.

Menurutnya, sepasukan anggota perubatan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kemudian tiba memberi bantuan dan rawatan kecemasan terhadap wanita itu.

“Bagaimanapun seorang lelaki berusia 50-an tiba-tiba muncul sebelum menjerit ke arah orang awam dan bertanyakan individu yang melanggar wanita tua itu.

“Lelaki itu mendakwa mangsa adalah ibu kepada rakan baiknya. Saya tidak berani mengaku melanggar mangsa berikutan bimbang dipukul,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian mencapai sebatang kayu sebelum memukul keretanya bertalu-talu hingga rosak.

“Saya hanya berani memindahkan kereta itu selepas suspek dan orang ramai beredar dari lokasi kejadian. Susulan itu saya membuat laporan di Balai Polis Kepong di sini, “ katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:29am
d