mutakhir

Ibu rayu biayai kos bedah bayi

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Seorang ibu muda merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos pembedahan berjumlah RM60,000 bagi membetulkan saluran arteri terbalik dan menampung lubang pada jantung anaknya yang berusia 25 hari.

Iera Kuzalina Adam, 23, berkata, dia hanya mengetahui mengenai keadaan anaknya, Muhammad Farrell Ziqri Muhammad Rahimi itu selepas dua hari dia dilahirkan pada 10 Januari lalu berikutan degupan jantungnya laju berbanding bayi normal lain.

“Pada saat Muhammad Farrell Ziqri diletakkan di dada saya selepas dilahirkan, naluri saya kuat mengatakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatannya.

“Namun, saya tidak sangka anak memerlukan pembedahan segera untuk membetulkan injap jantungnya berikutan keadaannya kritikal,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles, di sini, semalam.

Nasib sama menimpa Clement Saw Kiat Chun, 18, apabila remaja itu sedang bergelut dengan nyawa sendiri berikutan keadaan jantungnya yang bengkak dan memerlukan pembedahan secepat mungkin bernilai RM50,000.

Clement berkata, dia dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan dalam masa terdekat atau jantungnya akan semakin membengkak dan gagal berfungsi.

“Saya berharap ada pihak yang sanggup memberikan sedikit sumbangan untuk saya kembali sihat dan cergas seperti remaja lain selain dapat melanjutkan pelajaran tanpa sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Bagi Nurul Ashikin Ab Rasyid, 11, harapannya untuk mendengar kembali bergantung kepada sumbangan orang ramai bagi pembedahan menanam implan koklea di belakang telinganya yang menelan belanja RM85,000.

Nurul Ashikin yang ditemani ibunya, Rohaning Sama-Ae, 39, berkata, prestasi akademiknya cemerlang, namun kekurangannya itu membuatkan dia merendah diri dan tidak mahu bergaul.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke Unit Sumbangan, Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:46am
d