mutakhir

Sedia dana RM20 juta

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersedia memberi dana bernilai sehingga RM20 juta untuk kos penyelidikan klinikal terhadap daun rerama sehingga ia menjadi ubat yang menepati standard kesihatan dunia untuk merawat kanser.

Timbalan Menteri MOSTI Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, ketika ini kementerian itu sedang menunggu keputusan terperinci ujian saintifik yang dilakukan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang terhadap tumbuhan itu menggunakan sebahagian daripada dana RM300,000 yang sudah diluluskan.

“Dalam tempoh dua tiga bulan ini selepas ujian saintifik tamat, sekiranya keputusannya positif, kita akan pertimbangkan ujian klinikal menggunakan dana sehingga RM20 juta kepada agensi di bawah MOSTI.

“Penyelidikan klinikal mungkin mengambil masa sehingga empat hingga lima tahun, tetapi jika berjaya, daun rerama akan menjadi ubat klinikal untuk merawat kanser yang tiada dalam dunia,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai penemuan Khamarul Rezan Lim Abdullah, 58, yang berjaya merawat pelbagai jenis penyakit kronik terutamanya kanser atau barah menggunakan daun spesies Red Butterfly Wing atau lebih dikenali sebagai daun rerama.

Selain berkesan merawat barah, daun yang bentuknya seperti kepak rama-rama itu boleh mengubati denggi, Sistem Lupus Erithematosus (SLE) dan penyakit lain berkaitan sel darah.

Kajian saintifik penyelidik Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM turut berjaya menemui ciri-ciri anti kanser dan anti keradangan pada tumbuhan berkenaan.

Ujian makmal Institut Bioteknologi Melaka pada 2010 juga menunjukkan daun rerama mengandungi 13 sebatian kimia yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis ubat-ubatan.

Mengulas lanjut Abu Bakar berkata, langkah seterusnya MOSTI akan membangunkan ekstrak tumbuhan itu menjadi ubat mengikut piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus mencapai standard perubatan dunia.

Menurut beliau, MOSTI amat berkeyakinan tinggi terhadap potensi dan inovasi untuk menjadikan daun rerama sebagai ubat rawatan penyakit kanser yang bakal mengharumkan nama Malaysia dalam dunia perubatan.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:54am
d