mutakhir

Ibu dipanggil soal siasat

Johor Bahru: Ibu kanak kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera, termasuk disimbah air panas serta dicucuh dengan api pada tubuhnya sudah dipanggil untuk soal siasat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Johor Bahru Manayi Ibrahim ketika dihubungi berkata, buat masa ini polis tidak menahan ibu mangsa yang berusia 30-an itu dan siasatan dijalankan dalam segenap aspek termasuk kemungkinan anak tunggal wanita terbabit menjadi mangsa dera.

Katanya, kertas siasatan dijangka disiapkan dalam tempoh sebulan dan buat masa ini kanak-kanak itu ditempatkan sementara di rumah perlindungan kanak-kanak JKM di sini.

“Semalam, ibu kanak kanak berkenaan sudah dipanggil untuk disoal siasat dan dia mendakwa mengalami tekanan hidup kerana perceraian selain pendapatan tidak menentu sebagai penjual air tauhu.

“Katanya, anaknya itu selalu dibawa bersama ketika berniaga dan kecederaan pada kaki anak tunggalnya itu akibat air panas yang tumpah secara tidak sengaja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan seorang ibu tunggal dipercayai menjadikan anak perempuannya sebagai tempat melepaskan geram termasuk disimbah air panas dan dicucuh api.

Perbuatan wanita itu terbongkar apabila dia membawa mangsa ke tempatnya berniaga di Taman Nusa Bestari dan kesan kecederaan itu disedari pelanggan.

Manayi berkata, ketika disoal siasat wanita emosi wanita itu tidak menentu dan sering menangis namun pihaknya yakin kes berkenaan akan diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan secepat mungkin.

“Wanita berkenaan pada mulanya tidak berpuas hati kerana anaknya diambil JKM dan dirinya disiasat pihak berkuasa namun selepas diberi penerangan, dia memberi kerjasama.

“Wanita itu bersedia menyerahkan anaknya kepada pihak yang mampu menjaga berikutan keadaan kehidupannya yang sukar ketika ini namun terpulang kepada perintah mahkamah nanti,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini JKM sedang mengesan waris terdekat kanak-kanak itu, termasuk ahli keluarganya untuk penjagaan.

Disiarkan pada: February 5, 2015 @ 7:57am
d