mutakhir

Penyertaan sulung berhasil

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kesungguhan seorang penuntut membahagikan masa antara belajar serta menyiapkan idea dan rekaan bagi Pertandingan Rekaan Seni Bina Tempat Perlindungan Antarabangsa di Jepun berbaloi apabila dia diumumkan pemenang tempat ketiga pada pertandingan berkenaan.

Lebih membanggakan, Boey Ying Yan, 23, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Pengajian Seni Bina di Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) julung kali menyertai pertandingan antarabangsa itu sekali gus menjadi satu-satunya peserta dari Malaysia.

Menceritakan mengenai kejayaannya, Boey berkata, dia memperkenalkan konsep rekaan tempat perlindungan yang berfungsi sebagai penempatan sementara serta dilengkapi dengan kemudahan lain seperti pusat pendidikan dan pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

“Konsep seni bina pusat perlindungan ini terdiri daripada tiga tingkat di mana, aras bawah dijadikan sebagai pusat penyimpanan hasil pertanian dan aras kedua dilengkapi kemudahan perpustakaan dan pusat pembelajaran kanak-kanak.

“Seterusnya ialah aras ketiga dijadikan ruang khas kepada pelancong untuk menikmati keindahan pemandangan serta menonton persembahan kebudayaan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Boey berkata, dia mendapat idea untuk menghasilkan rekaan dan seni bina itu selepas melakukan pengembaraan secara solo di Sapa, Vietnam pada Mac tahun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 6, 2015 @ 8:14am
d