mutakhir

'Saya tidak akan mengalah'

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: “Dugaan ini amat berat tetapi saya tidak mahu mengalah dan perlu tabah mengharunginya,” kata Sri Wati Alias, 37, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini, yang menghidap kanser payudara tahap empat.

Selain kanser payudara, ibu kepada seorang anak itu turut menghidap penyakit tulang pinggul reput dan masalah paru-paru menyebabkannya terlantar di rumah.

Sri Wati berkata, dia menderita penyakit berkenaan sejak lima tahun lalu menyebabkan dia tidak berdaya bekerja dan hanya mengharapkan pendapatan suami yang bekerja sebagai pekerja kontrak mengecat rumah.

“Pendapatan suami hanya RM1,500 sebulan dan dengan wang itu kami membeli barang keperluan dapur, membiayai persekolahan anak tunggal kami serta rawatam penyakit saya.

“Dalam sebulan saya memerlukan kira-kira RM500 untuk rawatan. Walaupun doktor mengesahkan kanser saya tahap empat, saya tetap bersemangat untuk meneruskan kehidupan demi keluarga, terutama anak tunggal yang kini berusia sembilan tahun,” katanya.

Menurutnya, dia hanya boleh bergerak dengan kerusi roda menyebabkan kehidupan hariannya banyak dibantu jiran untuk makan tengah hari ketika suami bekerja dan anak ke sekolah.

Kata Sri Wati, pendapatan suaminya itu tidak mencukupi untuk membeli barangan keperluan hariannya seperti lampin pakai buang dan tisu basah.

Menurutnya, dia memerlukan sekurang-kurangnya 13 keping lampin pakai buang sehari kerana tidak mampu bergerak ke tandas dan harga lampin pakai buang dewasa agak tinggi.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan boleh mengunjungi Sri Wati di Blok E, PPR Sri Stulang atau menghubunginya di talian 019-7086745.

Disiarkan pada: February 6, 2015 @ 8:37am
d