mutakhir

Hari Kekasih salahi syarak

Kuala Lumpur: Umat Islam di negara ini sekali lagi diingatkan supaya tidak menyambut Hari Kekasih pada setiap 14 Februari kerana perbuatan itu menyamai sambutan agama lain bertentangan dengan hukum syarak.

Saranan itu dibuat Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menasihatkan semua umat Islam terutamanya remaja supaya menjauhi sambutan terbabit.

“Saya ingin menegaskan bahawa isu ini sudah pun difatwakan menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 yang memutuskan bahawa amalan meraikannya tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

“Perbuatan itu juga mengundang beberapa perkara tidak elok sekali gus membuka jalan ke arah maksiat dan hal ini perlu dielakkan oleh setiap umat Islam bagi menjaga batas pergaulan seperti yang sudah ditetapkan Syarak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, semua umat Islam harus menjauhkan diri daripada merayakan sambutan Hari Kekasih kerana ia jelas bertentangan dengan hukum Islam.

Beliau turut menyarankan kepada ibu bapa supaya menasihatkan anak-anak supaya tidak terikut-ikut dengan budaya barat kerana perkara itu mampu mencemarkan akidah umat Islam terutamanya golongan muda.

Sementara itu, larangan terhadap umat Islam menyambut Hari Kekasih sudah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang antara lain membincangkan Hukum Umat Islam Menyambut Perayaan Hari Kekasih dan majlis memutuskan amalan meraikannya tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Menerusi muzakarah itu, biarpun pelbagai helah licik digunakan untuk memperdayakan umat Islam, tetapi sejarah membuktikan sambutan itu mempunyai unsur budaya agama lain dan ia turut bertentangan dengan Syarak.

Disiarkan pada: February 6, 2015 @ 8:56am
d