mutakhir

Untung tak banyak, nahas menunggu

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Muhammad Shalaby Shahbuddin

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjalankan operasi khas membanteras pengedaran rokok seludup di Perai, Pulau Pinang, dengan menyasarkan kedai runcit yang menjual bahan larangan itu dalam kuantiti yang banyak.

Perai dikenal pasti kawasan panas penjualan rokok seludup dan operasi itu dilaksanakan di waktu malam ketika kegiatan jual beli sedang aktif.

Dalam operasi Rabu lalu, JKDM menyerbu sebuah kedai di Lorong Nagasari 8, Taman Nagasari dan menahan seorang peniaga.

Dalam operasi itu, lapan karton rokok seludup pelbagai jenama termasuk Surya Gudang Garam, John dan Canyon dirampas.

Operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan sasaran menyekat rantaian penjualan rokok seludup di kawasan ‘panas’ seperti di Perai.

Ini kerana menjual rokok seludup adalah satu jenayah.

Pada 29 Januari lalu, seorang wanita didenda RM1,500 selepas dia mengaku salah memilik rokok seludup bernilai RM148.48 di Mahkamah Majistret di Besut, Terengganu.

Sejak Op Outlet dan Op Pacak diperkenalkan pada Februari 2010 hingga Oktober 2014, 39,000 outlet diperiksa di seluruh negara dengan nilai rokok seludup yang dirampas berjumlah RM80 juta.

Daripada jumlah itu, 8,500 kes dibuka dengan 6,000 peruncit ditangkap JKDM.

Seramai 720 peruncit dikenakan tindakan mahkamah.

Usaha penguatkuasaan berterusan JKDM mencatatkan penurunan drastik penjualan rokok seludup. Kajian Rokok Seludup (ICS) oleh Nielsen dalam tempoh Jun hingga Ogos 2014 menunjukkan penurunan jualan rokok seludup 32.3 peratus.

Jumlah itu hampir menyamai rekod sepanjang 2013 iaitu 38.9 peratus sekali gus mencatatkan sejarah penurunan paling drastik dalam tempoh dua dekad.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili sebelum ini dilaporkan berkata, Op Pacak penting untuk memberi kesedaran kepada orang ramai kerajaan serius menangani penjualan rokok seludup.

Satu kajian Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mendapati rokok seludup seperti Surya Gudang Garam, Sempoerna, L A Lights dan Nusantara Menthol mengandungi tar serta nikotin tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kadar dibenarkan Kementerian Kesihatan.

Disiarkan pada: February 6, 2015 @ 9:14am
d