mutakhir

Wajah bak ayah

Oleh Abu Bakar Al Sidek

Teluk lntan: “Kelahiran bayi ini adalah penawar bagi mengingati suami yang telah pergi buat selama-lamanya. Saya akan meneruskan kehidupan bersama bayi ini sebagai penawar rindu sepanjang hayat,” kata Nurzarith Zaaba, 28, balu kepada pembantu juruterbang MH17, Muhamad Firdaus Abdul Rahim.

Nurzarith, meluahkan rasa syukur dan perasaan gembiranya selepas selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital Teluk lntan (HTI) jam 8.07 malam Rabu lalu.

Menurutnya, dia mengakui wajah bayinya lebih mirip wajah arwah suami, namun belum memberikan nama kepada bayi sulungnya itu yang dilahirkan seberat 2.14 kilogram dalam keadaan sihat.

“Saya bersyukur dan terlalu seronok selamat melahirkan bayi tanpa sebarang halangan. Tidak dapat saya bayangkan rasa gembira menerima kelahiran bayi perempuan selepas menunggu selama sembilan bulan 10 hari.

“Wajahnya lebih mirip kepada wajah arwah suami dan saya berharap dia akan mengikut jejak bapanya menjadi juruterbang jika diizinkan Allah,” katanya sambil tersenyum.

Nurzarith akan pulang ke rumah ibu bapanya di Batak Rabit, dekat sini, sebaik saja pihak hospital memberi kebenaran untuk berbuat demikian.

Menurutnya, dia sedang memikirkan nama penuh untuk diberikan kepada bayinya bagi melengkapkan amanat arwah suami.

“Arwah suami pernah berpesan jika mendapat anak lelaki namanya dimulakan dengan perkataan Muhammad dan jika perempuan dimulakan dengan perkataan Nur,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menerima ziarah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di hospital berkenaan semalam.

Hadir sama Pengarah HTI, Dr Megat lskandar Megat Abdul Hamid.

Disiarkan pada: February 7, 2015 @ 7:30am
d