mutakhir

Zero kaya RM500,000

Kuala Lumpur: Kumpulan Zero yang dianggotai trio tiga beradik iaitu Syaiful, Sharif dan Atu mencipta kejutan apabila muncul juara program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi.

Zero juga satu-satunya peserta dari ‘hot seat’ yang berjaya melayakkan diri ke pentas akhir.

Manakala tempat kedua dimenangi kumpulan Sepahtu yang membawa pulang RM250,000.

Tempat ketiga milik Nabil yang membawa pulang RM150,000 manakala tempat keempat dan kelima jatuh kepada Shiro dan Bocey.

Mereka masing-masing menerima RM50,000 dan RM15,000.

Dalam pada itu Jep Sepahtu dipilih sebagai pemenang Man Of The Match.

Hadiah disampaikan pelawak veteran Datuk Jamali Shadat manakala Datuk AC Mizal sebagai pengacara.

Barisan juri terdiri daripada Datuk Jalaludin Hassan, Fazura, Taufik Batisah dan Farah Quinn. Format pemarkahan adalah 70 peratus daripada juri dan 30 peratus menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.

MLM 2014 membuka pentas menerusi kerusi panas (hot seat) selama dua minggu bermula 31 Oktober dan 7 November 2014.

Program yang sebelum ini diadakan di Dewan Teater Diraja Selangor, Shah Alam disiarkan secara langsung setiap Jumaat jam 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132).

Disiarkan pada: February 7, 2015 @ 7:42am
d