mutakhir

Masalah brek punca terbabas

Kuala Lumpur: Masalah brek menjadi punca sebuah treler membawa muatan besi terbabas sebelum merempuh tiang lampu dan papan tanda jalan di bahu Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini

Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, treler itu dikatakan sedang menuruni jalan berbukit sebelum pemandunya hilang kawalan.

Pemandunya, S Kumar, 33, berkata, dia terpaksa mengelak beberapa kenderaan di hadapannya sebelum merempuh pembahagi jalan serta tiang besi papan tanda jalan setinggi lebih 10 meter.

“Saya cuba tekan brek beberapa kali namun ia gagal berfungsi, saya segera mengambil langkah mengelak beberapa kereta di hadapan. Sekiranya saya tidak mengelak, mungkin lebih banyak kereta akan dilanggar,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.

Dia yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Bangi, Selangor bersyukur berikutan treler yang dipandu tidak bergerak laju disebabkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu jurucakap polis Trafik Kuala Lumpur berkata, sebuah kereta model Honda City turut terbabit dalam kemalangan itu namun tidak mengalami kerosakan teruk.

“Pemandu treler dan pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua kenderaan akan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 7, 2015 @ 7:58am
d