mutakhir

Kawal keadaan

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Polis sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan menjelang keputusan perbicaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim 10 Februari depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan menempatkan kekuatan anggota yang mencukupi sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak dingini.

Bagaimanapun, beliau percaya rakyat Malaysia sudah matang dan boleh menerima apa juga keputusan yang diputuskan oleh mahkamah nanti.

“Polis sudah sedia maklum mengenai perkara ini dan akan menempatkan anggota yang mencukupi untuk mengawal keadaan.

“Kita berharap tiada kejadian yang tidak diingini akan berlaku tetapi polis akan sentiasa bersiap sedia,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan koleksi kereta mainan PDRM bersempena ulang tahun ke-33 Daisheng (M) Sdn Bhd, di Hotel Royal Chulan, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khalid menegaskan usaha membawa pulang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia dijangka memakan masa lebih lama.

Menurutnya, proses membawa pulang Sirul Azhar membabitkan urusan perundangan yang lama selain ada perkara lain yang perlu diambil perhatian termasuk sistem perundangan di negara itu.

“Ada langkah-langkah yang perlu diteliti sebelum kita dapat bawa Sirul Azhar pulang. Berapa lama, saya tidak pasti, kita kena tunggulah.

“Kita sudah pohon ekstradisi tapi ada halangan untuk Malaysia dan Australia bekerjasama memandang negara itu bukan saja tidak mengiktiraf hukuman mati malahan turut menentang keras hukuman itu dalam sistem perundangan negara lain,” katanya.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara akan bekerjasama menguruskan proses membawa pulang anggota berkenaan.

Disiarkan pada: February 7, 2015 @ 7:59am
d