mutakhir

Bantu anak yatim, fakir dan asnaf

Shah Alam: Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ikhwan ditubuhkan dengan dasar untuk membantu anak yatim, fakir miskin dan asnaf zakat yang hilang tempat berteduh.

Namun, jika ada pelajar yang bukan dari golongan terbabit yang berminat untuk bersekolah di situ, mereka boleh berbuat demikian tetapi dikenakan bayaran.

Di rumah kebajikan itu golongan sasaran yang hilang arah tuju dididik menjadi anak yang soleh, berakhlak mulia seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.

Di bawah naungan pertubuhan itu diwujudkan dua sekolah iaitu Sekolah Rendah Islam Mifthahul Hikmah dan Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa.

Penghuninya dapat meneruskan persekolahan di sekolah berkenaan supaya tidak tercicir dalam arus kemodenan.

Warden merangkap tenaga pengajar Fatimah Yasin, 45, berkata, sekolah itu mendapat kelulusan serta dipantau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari aspek sukatan pelajaran dan dana.

Katanya, sekolah itu dikhaskan untuk pelajar lelaki berusia antara 13 dan 17 tahun saja dan jumlahnya kini 80 orang termasuk seorang yang bukan daripada golongan sasaran.

Menurutnya, pelajar di sekolah itu mengikuti pelbagai ilmu seperti tahlil, doa selamat, solat hajat atau jenazah, kumpulan kompang, persembahan nasyid serta kelas al-Quran dan fardu ain.

“Sekolah menengah ini diwujudkan tahun lalu dan kebanyakan pelajar adalah bekas pelajar Sekolah Rendah Islam Mifthahul Hikmah di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ikhwan,” katanya.

Sementara itu guru, Wasahibah Adam berkata, dengan hanya 13 guru sukarela yang mempunyai kelulusan dalam subjek tertentu menyebabkan kekurangan itu sangat dirasai.

“Melahirkan tahfiz adalah objektif utama selain sukatan pelajaran digariskan Kementerian Pendidikan dan jika ada pihak luar yang inginkan perkhidmatan kami seperti majlis tahlil dan sebagainya sangat dialu-alukan kerana di samping dapat menyempurnakan fardu kifayah, ia dapat membantu pendapatan sekolah ini,” katanya.

Menurutnya, sebagai sekolah baru terdapat kekurangan dari segi kemudahan asas seperti sejadah, tempat penginapan dan van untuk pengangkutan.

Wasahibah berkata, pihaknya menyewa lot kedai berasingan untuk dijadikan tempat tinggal.

Dalam pada itu, isteri pengasas sekolah berkenaan Siti Aisyah Ayob, 42, berkata, arwah suaminya Nasaruddin Awang yang meninggal dunia 1 Januari lalu banyak berkorban untuk memastikan sekolah itu diwujudkan.

“Arwah suami adalah anak yatim piatu sejak berusia lima tahun lagi dan ia menguatkan semangatnya untuk membantu golongan senasib dengannya berjaya.

“Hasilnya arwah berjaya mendirikan sekolah ini hasil sumbangan orang ramai dan kini walaupun arwah sudah tiada selepas setahun penubuhan sekolah ini saya akan meneruskan impian arwah untuk melihat golongan ini berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2015 @ 8:15am
d