mutakhir

Dua kisah kejayaan

Kuala Lumpur: “Saya manfaatkan sepenuhnya apa yang dipelajari ketika menuntut di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Johor dan sistem pembelajaran itu membantu saya sampai ke tahap ini.

“Kalau ada minat dan percaya pada diri sendiri, kita boleh berjaya dalam hidup, sama seperti orang lain, yang penting kerja keras untuk berjaya,” kata Davis Paul Lister, 24.

Dia yang memperoleh Diploma Seni Reka Fesyen dan Pakaian tiga tahun lalu hanya bermodalkan RM400 dan sebuah mesin jahit pemberian ibunya selepas konvokesyen membuatnya cukup bangga dengan pencapaian sekarang.

“Saya mula membuka tempahan melalui facebook saja di rumah di Jertih, Terengganu dan tidak sangka ramai yang berminat dengan hasil jahitan saya dan kini mendapat tempahan hingga ke Brunei,” katanya.

Davis kini sudah berpindah ke Gombak, Selangor dan sedang mencari rumah kedai sesuai untuk membuka butik pertamanya.

Kejayaan sama dikecapi graduan bidang Kejuruteraan Awam di Politeknik Ungku Omar (PUO), Shaiful Ridzuan Mohd Yusof, 37, yang sedang meluaskan perniagaan percetakan dan pembinaannya.

Lepasan PUO dalam bidang Kejuruteraan Awam dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu kini pemilik kepada perniagaan percetakan Virtual Venture dan syarikat pembinaan, SY Construction di Ipoh, Perak bersama isterinya, Norliza Mustapa.

“Modal yang paling utama adalah ilmu. Saya dan isteri sentiasa belajar, mendengar pendapat pekerja,” katanya.

Pelbagai dugaan ditempuhi sepanjang 11 tahun menceburi bidang berkenaan, pernah kerugian RM200,000 dan perniagaan kafe Internet terpaksa ditutup tetapi Shaiful tidak patah semangat.

“Bagi saya pengalaman kegagalan yang ditempuhi adalah pembakar semangat untuk terus bangun dan terus maju, kami gagal kerana mencuba dan tidak pernah ada kekesalan di situ,” katanya.

Shaiful bertuah kerana sebagai permulaan, dia diberi peluang oleh bekas majikannya untuk mengambil sub-kontrak daripada projek syarikat terdahulu dan bertitik tolak dari situ dia mula yakin mengenai hala tujunya dunia perniagaan.

Disiarkan pada: February 7, 2015 @ 8:38am
d