mutakhir

Bantah cukai tinggi

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kecewa dengan tindakan kerajaan negeri mengenakan cukai taksiran terlalu tinggi, kira-kira 50 penduduk asal Kampung Bukit Cerakah, di sini, berhimpun secara aman bagi menyuarakan bantahan.

Cukai taksiran yang dianggarkan mencecah lebih RM600 setahun itu ternyata membebankan penduduk dan dianggap tidak munasabah untuk dibayar golongan peneroka yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Cerakah Shar Mubin berkata, cukai yang dikenakan itu membebankan kerana kebanyakan penduduk adalah peneroka yang memperoleh pendapatan hanya daripada jualan hasil pertanian.

“Status tanah di kawasan kampung ini adalah pertanian dan hampir 70 peratus penduduk adalah peneroka dan petani yang sudah menetap sejak bertahun lamanya.

“Selain itu, kemudahan seperti jalan berturap juga tidak lengkap, malah ada kawasan masih tidak berturap tetapi cukai taksiran dikenakan ke atas kami seolah-olah kawasan ini adalah tanah pembangunan atau perindustrian,” katanya kepada wartawan semalam.

Penduduk, Awaluddin Harun, 50, berkata, cukai tanah mula dikenakan pada penduduk pada Jun 2013 sebanyak RM600 setahun tetapi Kampung Budiman yang terletak bersebelahan hanya dikenakan RM80 setahun.

“Kami memang tidak puas hati kerana jumlah perbezaan yang besar malah Kampung Budiman lebih lengkap dari segi kemudahan.

“Kami berharap kerajaan negeri mengambil kira masalah penduduk berpendapatan rendah dan mengenakan cukai setanding dengan kemudahan disediakan,” katanya.

Dia berkata, penduduk sudah membuat rayuan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk meminta pengurangan cukai namun alasan diberikan ialah ia berdasarkan nilai semasa tanah di kawasan itu.

Disiarkan pada: February 8, 2015 @ 5:23am
d