mutakhir

Serbuan kali ke-5

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Cheras: Biarpun sudah empat kali diserbu sebelum ini, sebuah pusat hiburan yang tidak memiliki lesen tetap berdegil meneruskan operasi, selain turut menyediakan puluhan gadis pelayan pelanggan (GRO) kepada pengunjung.

Bagaimanapun, kedegilan pengusaha premis berkenaan membawa padah apabila sepasukan polis Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengterisme (STAGG) melakukan serbuan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, lima pegawai dan 18 anggota terbabit dalam serbuan itu diketuai Deputi Superintendan Hussin Mat Junus.

Menurutnya, hasil serbuan menemui 32 wanita warga Vietnam disyaki bekerja sebagai GRO sedang asyik melayan pelanggan.

“Sebaik tiba di lokasi pasukan STAGG menahan seorang lelaki tempatan mengaku bekerja sebagai pengurus premis.

“Lelaki itu gagal mengemukakan lesen hiburan dan menjual minuman keras. Selain itu, ada dua wanita dan masing-masing lelaki dan wanita warga China dan Myanmar bekerja di premis terbabit,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas 24 botol minuman keras, set komputer, set karaoke, bil minuman keras serta wang tunai berjumlah RM10,331.

“Pihak kami menahan dua penjaga premis kerana disyaki menggaji wanita warga asing tanpa permit sah, selain turut beroperasi tanpa lesen hiburan dan minuman keras yang sah.

“Seramai 32 wanita warga Vietnam ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial. Tujuh daripada mereka tidak memiliki dokumen manakala tiga tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Khairi berkata, semua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, 39 (b) Akta Imigresen, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 3 Akta Kerajaan Tempatan Selangor,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2015 @ 5:27am
d