mutakhir

Gesa praktik CSRA

Kuala Lumpur: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menggesa semua pihak terutamanya majikan supaya mempraktikkan amalan Penaksiran Risiko Ruang Terkurung (CSRA) demi keselamatan pekerja.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, amalan untuk mempraktikkan CSRA sangat penting bagi membolehkan pekerja sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika kerja berisiko termasuk penyelenggaraan gas.

“Semua majikan yang melaksanakan operasi berisiko wajar mempraktikkan amalan ini sekali gus dapat mengenal pasti sebarang risiko serta memastikan peralatan yang digunakan adalah betul termasuk kelengkapan perlindungan diri.

“Majikan juga perlu memastikan semua pekerja yang melakukan tugasan di ruang terkurung hendaklah disahkan sihat oleh Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) seperti yang sudah digariskan dalam kod amalan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Pada 5 Februari lalu, akhbar ini melaporkan tiga pekerja tongkang warga asing maut akibat terhidu gas beracun ketika menjalankan kerja penyelenggaraan dalam tangki penyedut pasir di dek tongkang, Kuala Balingian, Mukah, Sarawak.

Dalam laporan itu, Mohd Abd Kallam, 43, dari Bangladesh bersama Rama Krishnan, 20, dan Selvi Nikihil, 25, dari India sedang menyelenggara penyedut pasir berada dalam dek tongkang.

Disiarkan pada: February 9, 2015 @ 8:28am
d