mutakhir

Nafi MRSM larang pelajar amal ajaran agama dianuti

Kuching: Penyebaran berita berhubung tindakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sarawak dan Sabah melarang pelajar mengamalkan ajaran agama masing-masing seperti dilaporkan sebuah portal berita dalam talian adalah satu tuduhan tidak berasas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyelar tindakan itu dan menganggapnya satu pembohongan besar yang cuba dieksploitasi pihak tertentu bagi ‘meresahkan’ rakyat di kedua-dua negeri.

Beliau berkata, MRSM tidak pernah meletakkan peraturan menghalang pelajar mengamalkan ajaran agama masing-masing sejak institusi itu ditubuhkan pada 1972.

“Dakwaan itu tidak benar, malah pengurusan MRSM menyediakan bas untuk pelajar bukan Islam pergi ke gereja setiap Ahad dan kemudahan sama disediakan untuk pelajar Islam menunaikan solat Jumaat.

“MRSM tidak pernah halang pelajar mengamalkan ajaran agama masing-masing, ia selari dengan Perlembagaan kita berhubung kebebasan beragama manakala Islam sebagai agama rasmi negara.

“Pelajar juga dibenarkan membawa Bible ke sekolah, malah beberapa pengetua MRSM juga daripada kalangan bukan Islam,” katanya pada sidang media khas menjawab isu itu di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada sidang media itu, Mohd Shafie menjawab dakwaan sebuah portal berita yang mendakwa ibu bapa di negeri ini enggan menghantar anak ke MRSM kerana peraturan tambahan yang melarang pelajar mengamalkan sebarang aktiviti keagamaan selain Islam.

Beliau berkata, isu itu timbul berikutan beberapa undang-undang kolej itu dipinda sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu.

“Kita semua tahu bahawa MRSM untuk Bumiputera. Jika di Semenanjung, Bumiputera terdiri daripada Melayu yang beragama Islam berbeza dengan di Sabah dan Sarawak, ada Bumiputera yang bukan Islam,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2015 @ 8:51am
d