mutakhir

Balik pancing rumah dimamah api

Kepala Batas: Seorang suri rumah yang baru pulang dari memancing hanya mampu melihat rumahnya musnah dijilat api menyebabkan kerugian RM200,000 dalam kejadian di Permatang Binjai, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 1.45 petang ketika mangsa, Habsah Saidon, 50-an, berjalan pulang dari memancing di tali air tidak jauh dari rumahnya itu.

Menurut Habsah, dia terperanjat apabila ternampak asap dari arah rumahnya sebaik selesai memancing lalu bergegas pulang kerana bimbang keselamatan anak lelakinya, Mohd Aidil Yahaya, 14, yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Saya hanya teringat Mohd Aidil sebaik nampak rumah dijilat api kerana menyangka dia berada dalam rumah.

“Saya bimbang jika dia mengambil air untuk memadam api seperti yang diajar gurunya. Bagaimanapun, saya lega apabila mendapati dia berada di luar rumah ketika kejadian,” katanya.

Rumah dua tingkat berkenaan dijilat api hanya dalam tempoh 10 minit berikutan strukturnya dibuat daripada kayu.

Habsah berkata, walaupun jiran yang melihat kejadian cuba membantu memadam api, tetapi gagal kerana api marak dengan cepat dan memusnahkan 80 peratus bahagian rumahnya.

“Jika mengambil kira rumah saja, mungkin kerugian tidak begitu banyak, tetapi semua perabot baru dibeli turut dijilat api menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000.

“Saya tidak tahu lagi di mana hendak tidur malam ini kerana tidak ada rumah lain,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sepasukan anggota dari balai bomba dan penyelamat Kepala Batas, Butterworth, Kuala Muda dan Prai bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.50 petang.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak di rumah dua tingkat berkenaan tetapi berjaya dikawal lima minit kemudian.

Disiarkan pada: February 9, 2015 @ 9:28am
d