mutakhir

Doktor nahas tahan sakit

Oleh Arifin Salleh

Jasin: Seorang doktor terpaksa menanggung kesakitan akibat tersepit hampir setengah jam selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu suaminya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 187.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam, pasangan suami isteri, Dr Aminuddin Md Yusuf dan Dr Azizah Mohd Arifin, masing-masing berusia 44 tahun dari Kuala Lumpur dalam perjalanan menghala ke Yong Peng, Johor sebelum kenderaan dinaiki terbabit nahas apabila terlanggar sebuah lori membawa muatan sejuk beku di hadapan mereka.

Dr Aminuddin yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang baru enam bulan dibeli itu pada mulanya berada di lorong kanan, namun sebuah kenderaan tiba-tiba masuk ke lorong berkenaan dan bergerak perlahan.

Menurutnya, dia kemudian mengubah kenderaannya ke lorong kiri, namun sebaik memasuki lorong itu, dia mendapati sebuah lori muatan sejuk beku dipandu seorang lelaki berusia 40-an bergerak perlahan di laluan berbukit itu.

“Saya cuba mengelak ke kanan semula, namun gagal menyebabkan kenderaan hilang kawalan. Kenderaan saya terus meluncur laju lalu merempuh belakang bucu sebelah kanan lori terbabit.

“Pada masa sama, isteri menjerit kesakitan apabila kakinya tersepit pada papan pemuka kenderaan. Saya cuba mengundurkan kenderaan yang melekat pada belakang lori itu namun gagal,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 10, 2015 @ 7:21am
d