mutakhir

Beri lima hari dengar rayuan

Oleh Murni Wan Omar

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, semalam, menetapkan lima hari bermula 18 Mei ini untuk mendengar rayuan oleh bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain empat tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Aziah Ali menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa peguam salah seorang tertuduh, R Kathavarayan mahu memasukkan tambahan ke dalam petisyen rayuan.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Kathavarayan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia baru di lantik Jumaat lalu dan memerlukan masa untuk melihat semua dokumen kes.

Sebelum ini, mahkamah sudah menetapkan semalam untuk perbicaraan.

Mahkamah juga menetapkan 9 Mac ini untuk mendengar permohonan Hisyam untuk membuat pindaan kepada petisyen rayuan anak guamnya.

Turut bersidang bersama adalah Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Seri Zakaria Sam.

Peguam Manjeet Singh Dhillon mewakili N Pathmanabhan, Gurbachan Singh mewakili T Thilaiyalagan dan Amer Hamzah Arshad mewakili R. Matan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 10, 2015 @ 7:48am
d