mutakhir

'Hiba dengar nafas Muhammad'

Hulu Selangor: “Naluri saya kuat menyatakan Muhammad akan terus hidup dan menjalani kehidupan normal,” kata suri rumah, Hazni Azmi, mengenai harapannya terhadap anak ketiga, Muhammad Riduan yang menghidap masalah jantung berlubang.

Hazni, 33, berkata, besar harapannya untuk melihat Muhammad sembuh dan berharap ulang tahun pertama Muhammad pada 23 Februari ini membawa khabar gembira mengenai tarikh pembedahan.

“Setiap kali Muhammad bernafas, hati ini hiba. Pernafasannya tidak normal seperti bayi seusianya, dia juga cepat penat dan mengalami asma.

“Setakat ini, doktor belum memaklumkan tarikh sesuai untuk pembedahan Muhammad kerana komplikasi dihadapinya berbeza dan serius. Terdapat dua lubang dikesan di jantungnya serta tidak memiliki saluran darah dari jantung ke paru-paru,” katanya, di sini, semalam.

Hazni yang menetap di Kuala Kubu Bharu bersama suami, Riduan Ahmad, 31, dan dua anak berusia sembilan dan enam tahun berkata, Muhammad dikesan menghidap jantung sebaik dilahirkan.

“Sebaik dilahirkan, Muhammad terus dimasukkan ke Wad Neonatal Unit (NICU) Hospital Slim River, Perak dan terlantar enam bulan.

“Selama tempoh itu, dia hanya bergantung kepada oksigen biarpun doktor mengesahkan peluang Muhammad hidup tipis,” katanya.

Menurutnya, disebabkan masalah komplikasi itu, perkembangan pertumbuhan Muhammad turut terbatas kerana masih meniarap sedangkan bayi seusianya sudah belajar berjalan.

Katanya, walaupun buntu memikirkan kos pembedahan, namun dia sangat berharap Muhammad sembuh kerana tidak sanggup melihat penderitaan anak kecil itu.

“Sememangnya kami tidak mampu menyediakan kos pembedahan berikutan suami saja yang bekerja dan gaji diperoleh sekitar RM1,200 sebulan. Ia hanya cukup menampung makan minum kami termasuk persekolahan dua anak.

“Tapi saya amat berharap anak saya dapat menjalani pembedahan segera, sekali gus kembali sihat seperti kanak-kanak seusianya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Hazni di talian 012-5696803.

Disiarkan pada: February 11, 2015 @ 8:35am
d